SEJARAH PENDAKWAAN SYARIAH DAN PENUBUHAN JABATAN PENDAKWAAN SYARIAH NEGERI JOHOR
Oleh: Ahmad Wafi bin Abdullah
PENGENALAN
Sistem keadilan di Negeri Johor telah mengalami evolusi yang signifikan daripada sistem berteraskan sepenuhnya kepada Hukum Syarak kepada pembentukan sistem dwi-perundangan moden. Perkembangan ini berlaku secara berperingkat melalui beberapa fasa penting yang mencerminkan perubahan struktur pentadbiran, pengaruh luar serta keperluan semasa masyarakat. Pada era Johor lama sebelum abad ke-19, sistem keadilan adalah berasaskan hukum syarak dan adat Melayu. Sultan bertindak sebagai Ketua Hakim Tertinggi, dibantu oleh Kadi dan Pembesar. Dalam kerangka ini, tiada pemisahan antara fungsi kehakiman, pentadbiran dan pendakwaan; sebaliknya ketiga-tiga fungsi tersebut dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan prinsip syariah. Memasuki era pemodenan Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar sekitar tahun 1860-an, perubahan besar mula diperkenalkan. Penubuhan Kerajaan Mesyuarat Johor pada tahun 1868 menandakan kewujudan badan perundangan dan kehakiman yang lebih tersusun. Seterusnya, Mahkamah Polis ditubuhkan pada tahun 1873 di bawah Kanun Polis Johor, diikuti penubuhan Mahkamah Tinggi (Supreme Court) pada tahun 1883 yang memperkenalkan hierarki mahkamah moden.
Walaupun pemodenan ini memperlihatkan pengaruh barat, asas keadilan Islam masih dikekalkan melalui pelantikan ulama sebagai hakim serta peranan Mufti sebagai penasihat undang-undang Islam. Kemuncak perkembangan ini ialah pengenalan Majalah Ahkam Johor pada tahun 1913 yang diadaptasi daripada Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah Empayar Uthmaniyyah dan digunakan sebagai rujukan rasmi dalam urusan muamalat. Perubahan paling ketara berlaku selepas tahun 1914 apabila Johor menerima General Advisor. Dalam tempoh ini, sistem kehakiman mengalami transformasi besar melalui pengenalan undang-undang Inggeris, khususnya prinsip common law. Penggubalan undang-undang sivil pada tahun 1937 mengukuhkan lagi pemakaian sistem tersebut, sekali gus mengehadkan peranan undang-undang Islam kepada perkara kekeluargaan dan agama. Melalui Ordinan Mahkamah 1946 dan 1948, pemisahan antara mahkamah sivil dan mahkamah kadi menjadi lebih jelas. Struktur mahkamah moden yang diperkenalkan pada tahun 1948 menandakan permulaan sistem dwi-perundangan di Tanah Melayu termasuk Johor. Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, sistem ini dikekalkan melalui Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah sivil berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, manakala Mahkamah Syariah berada di bawah bidang kuasa negeri.
Di Johor, pengukuhan institusi syariah berlaku melalui Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 1978 dan kemudiannya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 yang masih berkuat kuasa hingga kini.
ASAS DAN KONSEP PENDAKWAAN DALAM HUKUM SYARAK
Konsep pendakwaan dalam Islam berasaskan prinsip pembuktian yang jelas sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sekiranya manusia diberikan (hak) berdasarkan dakwaan mereka, nescaya orang akan mendakwa harta dan darah orang lain. Namun, bukti diwajibkan ke atas pihak yang mendakwa dan sumpah ke atas pihak yang menafikan.” (Hadis hasan riwayat al-Baihaqi; sebahagiannya terdapat dalam Sahih alBukhari dan Muslim) Prinsip ini menegaskan bahawa beban pembuktian terletak kepada pihak yang mendakwa. Dalam konteks jenayah, pendakwa lazimnya mewakili pemerintah, manakala dalam kes mal, pihak yang menuntut bertindak sebagai pendakwa.
KEWUJUDAN AWAL PENDAKWAAN DI JOHOR
Secara bertulis, kewujudan fungsi pendakwaan di Johor dapat dikesan melalui Enakmen Mahkamah Bil. 16 Tahun 1914 yang memperuntukkan struktur mahkamah seperti berikut:
Supreme Court Mahkamah Magistret Kelas Pertama Mahkamah Magistret Kelas Kedua Mahkamah Kadi dan Pembantu Kadi. Walaupun tidak dinyatakan secara jelas pihak yang menjalankan pendakwaan, terdapat peruntukan bahawa rayuan terhadap pelepasan dalam kes jenayah memerlukan kebenaran “Public Prosecutor”. Namun demikian, tidak terdapat bukti bahawa Pendakwa Raya menjalankan pendakwaan di Mahkamah Kadi. Hal ini disebabkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Kadi ketika itu sangat terhad, iaitu hanya boleh menjatuhkan denda tidak melebihi RM10.00. Sebaliknya, kesalahan melibatkan orang Islam banyak dibicarakan di Mahkamah Magistret melalui pelbagai enakmen, antaranya: Enakmen 15/1914 – Pendaftaran Pernikahan dan Perceraian Enakmen 8/1915 – Kehadiran Kanak-kanak ke Sekolah Enakmen 25/1919 – Kesalahan Orang Islam Enakmen 46/1934 – Baitul Mal Peruntukan-peruntukan ini memperlihatkan bahawa pendakwaan jenayah terhadap orang Islam ketika itu masih berada dalam kerangka mahkamah sivil.
PERANAN KADI DAN PEMERIKSA HAL EHWAL ISLAM DALAM PENDAKWAAN (1930–1962)
Penyata Jabatan Agama Johor tahun 1930, Fasal 5(1) menyatakan berkenaan tugas Kadi Besar: “… dia juga bertugas membicara, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah…” Ini membuktikan bahawa Kadi Besar (dan Kadi-Kadi) menjalankan tiga fungsi utama secara serentak, iaitu: Penguatkuasaan, Pendakwaan dan Kehakiman
Perkembangan seterusnya dapat dilihat melalui Peraturan Zakat dan Fitrah 1962, Peraturan 10(4): “sebarang pendakwaan… boleh dijalankan oleh Pemeriksa Hal Ehwal Islam” Ini menunjukkan bahawa fungsi pendakwaan mula beralih kepada pegawai penguatkuasa, walaupun masih belum diinstitusikan secara berasingan.
PENGINSTITUSIAN PENDAKWAAN SYARIAH (1978–1993)
Pengenalan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor Bil. 14/1978 merupakan titik penting dalam sejarah pendakwaan syariah di Johor. Enakmen ini: Memperincikan fungsi penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman Memperkenalkan jawatan Pendakwa Syarie secara rasmi Menetapkan bidang kuasa selaras dengan Akta 355 Pada tahun 1991, Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jabatan Agama Johor ditubuhkan secara rasmi. Seterusnya, Enakmen Mahkamah Syariah Johor Bil. 12/1993: Memperuntukkan jawatan Ketua Pendakwa Syarie (Seksyen 20) Memisahkan struktur pendakwaan dan penguatkuasaan
PEMISAHAN FUNGSI DAN PENYELARASAN NASIONAL (1997–2003)
Penggubalan Enakmen Prosedur Jenayah Syariah 1997 memperkenalkan prosedur pendakwaan yang lebih sistematik. Pada tahun 1998, keputusan Jawatankuasa Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang Islam menetapkan bahawa fungsi penguatkuasaan dan pendakwaan hendaklah dipisahkan bagi mengelakkan konflik peranan. Seterusnya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) Bil. 16/2003: Memperuntukkan pelantikan Ketua Pendakwa Syarie (Seksyen 78) Memperkemas struktur organisasi pendakwaan
PENUBUHAN JABATAN PENDAKWAAN SYARIAH NEGERI JOHOR
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-56 yang diadakan pada 16 Januari 2014 telah menimbangkan dan menerima cadangan pengasingan Bahagian Pendakwaan dinaiktaraf sebagai Jabatan Pendakwaan Syariah. Keputusan sebulat suara di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mac 2015 telah bersetuju dengan cadangan dalam menaiktaraf Bahagian Pendakwaan menjadi Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri. Pada peringkat Negeri Johor, Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor kali ke 201 pada 28 Mei 2015 telah menerima maklum dan bersetuju untuk pengasingan tersebut. Kemuncak perkembangan ini ialah penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor melalui beberapa peringkat penting: 25 April 2017 – Perkenan DYMM Sultan Johor 6 Ogos 2018 – Kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan 4 Julai 2019 – Kelulusan perjawatan 1 Januari 2020 – Penubuhan rasmi jabatan Penubuhan ini menandakan pendakwaan syariah telah berkembang menjadi suatu institusi profesional yang berasingan dengan struktur pentadbiran tersendiri.
KESIMPULAN
Sejarah pendakwaan syariah di Johor memperlihatkan suatu evolusi yang beransur-ansur daripada sistem tradisional yang menggabungkan pelbagai fungsi kepada sistem moden yang memisahkan fungsi penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman. Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor pada tahun 2020 merupakan manifestasi kematangan sistem ini serta komitmen berterusan dalam memastikan keadilan dilaksanakan secara telus dan selaras dengan prinsip syariah.
