Maklumat Umum Jabatan
Apakah fungsi Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor (JPSNJ)?
JPSNJ bertanggungjawab menjalankan pendakwaan bagi kesalahan jenayah Syariah di Negeri Johor selaras dengan peruntukan undang-undang Syariah yang berkuat kuasa.
Apakah peranan Pendakwa Syarie?
Pendakwa Syarie berperanan mewakili pihak berkuasa agama dalam mengemukakan kes pendakwaan di Mahkamah Syariah bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang Syariah dilaksanakan secara adil dan berintegriti.
Di bawah pentadbiran siapakah JPSNJ beroperasi?
JPSNJ beroperasi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor
Apakah visi dan misi JPSNJ?
Visi JPSNJ ialah memperkasa institusi pendakwaan jenayah syariah di negeri Johor.
Misi JPSNJ ialah menjadi Institusi rujukan pendakwaan jenayah syariah di Negeri Johor yang berwibawa melalui pemerkasaan undang-undang serta perkhidmatan yang adil, berintegriti dan profesional demi menjaga maqasid agama.
Bidang Kuasa & Jenis Kes
Apakah jenis kes yang dikendalikan oleh JPSNJ?
JPSNJ mengendalikan kes-kes jenayah Syariah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 termasuk (tetapi tidak terhad kepada):
- Kesalahan akidah
- Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya
- Kesalahan kesusilaan
JPSNJ juga mengendalikan kes jenayah mal di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 seperti:
- Kesalahan nikah tanpa kebenaran (seksyen 40)
- Kesalahan poligami tanpa kebenaran (seksyen 124)
- Kesalahan perceraian di luar mahkamah (seksyen 125)
Adakah JPSNJ mengendalikan kes sivil atau kekeluargaan Syariah?
Tidak. Kes sivil dan kekeluargaan Syariah dikendalikan oleh pihak-pihak berkaitan di Mahkamah Syariah dan bukan di bawah bidang kuasa JPSNJ.
Proses Pendakwaan
Bagaimanakah sesuatu kes jenayah Syariah dibawa ke Mahkamah?
Kes akan dibawa ke Mahkamah selepas siasatan dijalankan oleh pihak penguatkuasa agama dan kertas siasatan dikemukakan kepada JPSNJ untuk penelitian dan keputusan pendakwaan.
Adakah semua kes yang disiasat akan didakwa?
Tidak. Keputusan pendakwaan dibuat berdasarkan keterangan, kepentingan awam dan pertimbangan undang-undang.
Apakah peranan saksi dalam kes pendakwaan Syariah?
Saksi bertanggungjawab memberikan keterangan yang benar dan jujur di Mahkamah bagi membantu proses keadilan.
Bolehkah orang awam hadir ke Mahkamah Syariah bagi kes jenayah?
Kehadiran tertakluk kepada peraturan Mahkamah Syariah dan budi bicara Hakim.
Hak Orang Awam & OKT (Orang Kena Tuduh)
Apakah hak Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes jenayah Syariah?
OKT mempunyai hak untuk dibicarakan secara adil, mengemukakan pembelaan, memanggil saksi dan diwakili oleh peguam Syarie.
Bolehkah OKT memohon representasi atau membuat rayuan?
Ya. OKT boleh mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan dan membuat rayuan mengikut saluran undang-undang yang ditetapkan.
Aduan, Maklumbalas & Pertanyaan
Bagaimanakah cara untuk membuat aduan berkaitan kesalahan jenayah Syariah?
Aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan, JAINJ yang terdekat.
Bolehkah orang awam membuat aduan terus kepada JPSNJ?
JPSNJ menerima pertanyaan dan maklum balas berkaitan fungsi pendakwaan, namun aduan kesalahan hendaklah disalurkan kepada Bahagian Penguatkuasaan, JAINJ.
Perkhidmatan & Maklumat Tambahan
Adakah JPSNJ menyediakan khidmat nasihat perundangan kepada orang awam?
Tidak. JPSNJ tidak menyediakan khidmat nasihat perundangan persendirian
Adakah maklumat kes boleh diakses oleh orang awam?
Maklumat kes tertakluk kepada kerahsiaan dan peraturan Mahkamah Syariah.
Di manakah orang awam boleh mendapatkan maklumat undang-undang Syariah?
Maklumat boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi, bahan penerbitan jabatan atau agensi agama berkaitan.
